Pesawat pengebom Persenjataan Perang Vietnam

Pesawat Pengebom B-52 Stratofortress

Pesawat pengebom B-52 semasa operasi dalam Perang Vietnam

Kapal terbang Boeing B-52 Stratofortress merupakan pesawat pengebom strategik yang digunakan oleh Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) sejak tahun 1954.

Pesawat ini paling digeruni oleh pejuang-pejuang NVA dan Viet Cong apabila menjalankan operasi pengeboman semasa Perang Vietnam. Mereka yang terselamat menggambarkan pengalaman seperti melalui satu gempa bumi. Sebuah pesawat pengebom B-52 boleh menggugurkan lebih daripada 84 biji bom 500 lb di dalam perut kapal dan tambahan 24 biji bom yang dipasangkan di tempat persenjataan di bawah sayap.

B-52 memainkan peranan penting semasa operasi pengeboman dalam tahun 1965 dengan penempatan 27 buah pesawat B-52F di Pengkalan Udara Andersen di Guam. Mereka menjalankan operasi pengeboman ke atas kedudukan NVA dan Viet Cong di Laluan Ho Chi Minh, dan memberikan bantuan serangan dekat (Close Air Support) kepada kedudukan tentera Amerika dan juga kedudukan tentera di Vietnam Utara.

Operasi pertama dijalankan pada 18 jun 1965 oleh 27 buah pesawat B-52F yang mensasarkan Ben Cat, 64 kilometer di utara Saigon. Misi ini mengalami kehilangan 2 buah pesawat B-52 yang berlanggar di udara dalam perjalanan ke Vietnam dan mengakibatkan 8 kematian. Pesawat B-52F digantikan dengan pesawat B-52D dalam tahun 1966. Pesawat B-52D menjadi versi paling berjaya menjalankan operasi di Vietnam. Ops Arc Light pertama diterbangkan daripada Pengkalan Udara Kadena pada 16 Februari 1968.

Dalam tahun 1967, pesawat B-52D ditempatkan di Pengkalan Udara U Tapao di Thailand, di mana jarak yang lebih dekat membolehkan pesawat ini menjalankan misi pengeboman tanpa keperluan mengisi minyak di udara. Operasi di U Tapao berterusan sehingga tahun 1973.

Martin B-57 Canberra

Pesawat pengebom B-57 semasa operasi dalam Perang Vietnam

Kapal terbang pengebom B-57 Canberra digunakan oleh Tentera Udara Amerika Syarikat untuk menjalankan misi-misi pengeboman dan peninjauan mulai tahun 1950-an. Kapal terbang ini pada asalnya diasaskan kepada pesawat English Electric Canberra buatan British.

Versi B-57B menjadi versi muktamad pesawat pengebom ini, dan mempunyai beberapa pengubahsuaian. 4 stesen senjata dipasangkan di bawah sayap kapal terbang ini untuk membolehkan lebih banyak senjata dibawa. Kapal terbang ini juga diberikan persenjataan 8 pucuk mesingan of 0.50 in (12.7 mm) Browning M2 dan kemudiannya digantikan dengan 8 pucuk meriam 20 mm jenis M39.

Penerbangan sulung B-57B dilakukan pada 18 Jun 1954. Pesawat jenis B-57 pada awalnya menghadapi beberapa masalah seperti kerosakan enjin dan kegagalan pengerak sayap ekor menyebabkan beberapa pesawat menjunam ke tanah. Tentera Udara Amerika Syarikat menganggapkan pesawat B-57 ini tidak sesuai untuk tugasan pencerobohan malam dan Martin mengambil langkah meningkatkan peralatan elektronik pesawat ini. Menjelang tahun 1957, Tentera Udara Amerika Syarikat menerima pesawat F-100 Super Sabre ke dalam perkhidmatan skuadron, dan B-57 diputuskan untuk dikeluarkan daripada perkhidmatan. Persaraan pesawat ini ditangguhkan kerana Perang Vietnam.

Penempatan pesawat B-57B di Bien Hoa bermula dalam bulan November 1964 dengan perlanggaran di antara 3 buah pesawat semasa tiba! 5 buah pesawat lagi musnah dalam serangan mortar oleh Viet Cong dan 15 lagi rosak. Misi pengeboman bermula pada 19 Februari 1965 dalam Ops Rolling Thunder. Pesawat B-57 biasanya dipasangkan 9 butir bom 500 lb (227 kg) di dalam badan pesawat dan 4 butir bom 750 lb (340 kg) di bawah sayap.

Dalam bulan April 1965, pesawat B-57B mula membuat serangan waktu malam dibantu oleh pesawat lampu suar dan pesawat peperangan elektronik jenis EF-10B Skyknight. Pada 16 Mei 1967, sebuah pesawat b-57B meletup di atas landasan di Bien Hoa, dan menyebabkan kemusnahan 10 buah B-57B yang lain, bersama-sama 11 buah kapal terbang A-1 Skyraider dan sebuah kapal terbang F-8 Crusader.

Akibat pelumpuhan perang, peswat B-57 dihantar ke Phan Rang di mana mereka menyertai serangan membantu operasi tentera di kawasan tersebut bersama-sama pesawat pengebom Canberra Tentera Udara Diraja Australia. Daripada 94 buah pesawat B-57 yang dihantar ke Vietnam, 51 buah menjadi korban perang dan pada akhir tahun tahun 1969, hanya 9 buah sahaja yang masih tinggal.

Rujukan

WikiPedia: Persenjataan Perang Vietnam http://psysim.www7.50megs.com/dustkelly.htm http://www.britains-smallwars.com/Vietnam/SP.htm http://www.danshistory.com/vietnam.shtml#kia http://www.historynet.com/magazines/vietnam/303011... http://www.imdb.com/title/tt0079652/ http://www.nostalgiacentral.com/movies/oddangrysho... http://keepourcountryfree.tripod.com/id18.html http://www.diggerhistory.info/pages-air-support/vi... http://www.vectorsite.net/avcrus_2.html#m3 http://www.globalsecurity.org/military/systems/air...